Pages

Sunday, 20 May 2012

Pelopor Teori-teori Pendidikan

 
Jean Piaget

Jean Piaget merupakan salah seorang pencetus teori dalam pendidikan. Latar belakang dan sumbangan beliau telah kita bincangkan dalam post sebelum ini. Sekarang, kita akan fokus pula pada teori beliau. Minat menyelidik proses pemikiran kanak-kanak amat mendalam dalam diri beliau. Hasil daripada pemerhatian terhadap perkembangan ketiga-tiga anaknya, maka tercetuslah Teori Perkembangan Kognitif Piaget. Menurut Piaget, tindakan (action) membuahkan pengetahuan dan pembelajaran adalah melalui penglibatan yang aktif. Pandangan Piaget adalah berdasarkan konsep konstruktivisme di mana manusia aktif dalam menginterpretasi dan mempelajari sesuatu perkara atau peristiwa yang berlaku di sekeliling mereka. Apabila berhadapan dengan stimuli  (rangsangan) tertentu, mereka memanipulasi stimuli tersebut dan memerhati kesan tindakan mereka. Pengetahuan yang diperoleh daripada interaksi dengan persekitaran akan membentuk skema, iaitu suatu struktur asas mental yang mewakili pengetahuan seseorang. Apabila wujudnya maklumat baru, ini menyebabkan seseorang mengubah suai skema asalnya untuk memberi ruang kepada pengetahuan atau maklumat barunya. Proses interaksi dengan persekitaran ini dikenali sebagai adaptasi. Untuk membolehkan adaptasi berlaku, seseorang perlu melalui 2 aktiviti mental iaitu asimilasi  (interaksi dengan persekitaran berdasarkan pengetahuan sedia ada, iaitu skema yang telah terbentuk hasil daripada pembelajaran awal) dan akomodasi ( pengubahsuaian skema sedia ada atau pembentukan skema baru untuk peristiwa baru). Menurut Piaget, asimilasi dan akomodasi saling berkaitan.  Kedua-dua proses ini saling berinteraksi untuk membolehkan kita menginterpretasi maklumat baru dan jika perlu, kita mengubahsuai pengetahuan sedia ada.

Terdapat 4 tahap perkembangan kognitif menurut Piaget iaitu :
  •   Sensorimotor/deria motor (0 hingga 2 tahun)
  •   Praoperasi/praperolehan  (2 hingga 7 tahun)
  •  Operasi/pengolahan konkrit (7 hingga 11 tahun)
  • Operasi/olahan formal (11 hingga ke atas)
(Rujuk http://www.slideshare.net/IzzatNajmi/teori-kognitif-piaget-11733859)

Antara implikasi Teori Perkembangan Kognitif Piaget ke atas strategi pengajaran guru adalah;
  •  pembelajaran secara aktif (proses pembelajaran secara induktif lebih sesuai di mana pelajar meneroka sesuatu topik terlebih dahulu sebelum guru merumuskan konsep-konsep penting yang mereka perlu tahu)
  •  guru sebagai fasilitator (guru menyediakan suasana, bahan pembelajaran dan persekitaran yang membolehkan penerokaan berlaku)
  • pemadanan aktiviti dan bahan dengan tahap perkembangan (guru memahami pemikiran pelajar  dan menyediakan bahan & aktiviti pembelajaran dengan merujuk kepada tahap perkembangan pelajar)



Lev Vygotsky

Teori perkembangan kognitif dan sosiobudaya telah dipelopori oleh Vygotsky atau nama sebenarnya, Lev Semyonovich Vygotsky yang juga merupakan seorang ahli psikologi berbangsa Rusia. Beliau di lahirkan pada 17 November 1896 di Belorussia (Belarus) dan meninggal dunia pada tahun 1934 akibat batuk kering. Namun dalam usianya yang masih muda, beliau telah mempelajari banyak ilmu seperti ilmu perubatan, undang-undang, sastera dan akhirnya psikologi. Beliau juga merupakan seorang guru dan sarjana sastera yang telah menulis buku tentang ‘Pemikiran dan Bahasa’ dan ‘Fikiran Masyarakat’. Untuk mengenali beliau dengan lebih dekat, sila rujuk pada..... http://en.wikipedia.org/wiki/Lev_Vygotsky

Vygotsky sangat terkenal sebagai salah seorang ahli psikologi pendidikan yang memperkenalkan teori sosiobudaya. Teori yang dinyatakan beliau adalah merupakan teori gabungan antara kognitif dan persekitaran sosial yang menerangkan fungsi psikologikal minda manusia. Teori Vygotsky juga menerangkan bagaimana manusia pada mulanya memahami sesuatu konsep melalui interaksi dengan individu yang lain sebelum betul-betul memahami konsep tersebut dengan sendirinya apabila internalisasi telah berlaku. Internalisasi merupakan pemahaman sesuatu konsep sehingga boleh menggunakannya untuk menyelesaikan masalah, menguatkan hujah Vygotsky yang mengatakan bahawa setiap pelajar itu mampu mencapai tahap potensinya dengan bantuan orang lain yang lebih mahir daripadanya (Vygotsky, 1981; Wertsch, 1979).

     Beberapa ciri-ciri penting teori ini dijelaskan seperti berikut:
  1. Bahasa merupakan alat untuk berfikir dan alat yang digunakan oleh orang dewasa untuk memindahkan pengetahuan kepada kanak-kanak.
  2. Vygotsky percaya bahawa semua orang mempunyai Zone Of Proximal Development (ZPD) iaitu potensi kognitif pada tahap yang lebih tinggi. Potensi ini hanya mampu dicapai melalui proses scaffolding.
  3. Tahap pembelajaran atau kematangan mental seseorang kanak-kanak boleh ditingkatkan melalui scaffolding. Scaffolding merupakan pertolongan atau bimbingan yang diberi oleh orang yang lebih berpengalaman untuk meningkatkan tahap pembelajaran atau pemikiran kanak-kanak.
  4. Alat-alat yang digunakan dalam sesuatu budaya atau cultural tools (seperti bahasa, media, televisyen atau komputer) adalah sangat penting untuk meningkatkan komunikasi, pembelajaran dan pemprosesan pemikiran ke tahap yang lebih tinggi.


Piaget vs Vygotsky









Albert Bandura

      Albert Bandura merupakan seorang tokoh yang terkenal dengan Teori Pembelajaran Sosial. Sejarah hidup dan sumbangan beliau juga telah diceritakan dalam post sebelum ini. Beliau telah membentuk satu teori pembelajaran sosial yang menyarankan konsep timbal balik (determinisme). Teori ini menekankan aspek interaksi yang berlaku antara manusia dengan persekitarannya. Menurut Bandura, manusia mempengaruhi untung nasib melalui pengawalan kuasa persekitarannya dan dalam masa yang sama, mereka dipengaruhi oleh kuasa-kuasa persekitaran ini. Manusia akan sentiasa bertindak balas terhadap pelbagai situasi serta membentuk dan mempengaruhi situasi tersebut secara aktif. Bandura percaya, proses pembelajaran manusia adalah melalui pemerhatian dan peniruan.
(Eksperimen anak patung Bobo ...... http://www.slideshare.net/noorezayumohdsaid/teori-pembelajaran-sosial-edu-3103). Berdasarkan eksperimen tersebut, dapat disimpulkan bahawa meniru adalah satu cara anak-anak dapat belajar, terutamanya bagi pelajar yang meningkat remaja. Cara belajar seperti ini lebih berkesan sekiranya disertai dengan ganjaran-ganjaran tertentu.

Tiga model asas pembelajaran yang telah dikenal pasti oleh Bandura, iaitu;
  • Model zahir (live) – individu sebenar melakukan sesuatu (Lee Chong Wei                                   menunjukkan cara memukul bulu tangkis di hadapan pelajar)
  • Model lisan - penjelasan tentang sesuatu tingkah laku (guru menerangkan bagaimana Lee Chong Wei memukul bulu tangkis)
  • Model simbolik - tingkah laku sebenar / lakonan yang ditunjukkan dalam buku, tv atau filem (pelajar menonton video perlawanan badminton sebenar)


Bandura (1965) berpendapat, pembelajaran pemerhatian melibatkan 4 proses ;
  • Penumpuan atau pemerhatian (pelajar perlu memberi fokus & tumpuan sewaktu pengajaran)
  • Penyimpanan atau pengekalan ingatan (pelajar berupaya mengekalkan apa yang dipelajari)
  • Reproduksi atau mengeluarkan semula (pelajar perlu melakukan kembali apa yang ditunjukkan)
  • Motivasi atau dorongan (peneguhan internal & eksternal penting dalam pembelajaran tingkah laku)





Howard Gardner

          Howard Gardner merupakan seorang tokoh yang memperluaskan konsep kecerdasan di mana beliau melihat keadaan kecerdasan individu yang pelbagai. Gardner telah menerbitkan buku "Frame of Mind" pada tahun 1983. Selidiki latar belakang dan sumbangan Howard Gardner melalui http://en.wikipedia.org/wiki/Howard_Gardner . 

    Menurut Gardner, kecerdasan manusia biasanya tidak boleh diwarisi kerana kecerdasan dipengaruhi oleh budaya, persekitaran, peluang pendidikan, makanan, pembelajaran dan lain-lain lagi. Beliau telah mengemukakan 9 aspek kecerdasan manusia yang dapat dikembangkan sepanjang hayat. Beliau berpendapat, manusia mempunyai kesemua kecerdasan tersebut, namun tahap pencapaian bagi suatu kecerdasan itu berbeza-beza. Manakala, ada juga individu mempunyai kecerdasan yang tinggi dalam kesemua kecerdasan ini.

Aspek-aspek kecerdasan yang dikemukakan oleh  Gardner adalah :
  • Kecerdasan verbal linguistik - kebolehan menggunakan bahasa, sama ada secara  lisan/bertulis.                                                 
  • Kecerdasan logik-matematik  - kebolehan memanipulasikan nombor dan pengiraan
  • Kecerdasan visual-ruang - kebolehan mencipta gambaran mental dan mengamati dunia visual            
  • Kecerdasan kinestetik - kebolehan menggunakan keseluruhan anggota badan untuk                                    menyelesaikan masalah dan berkomunikasi
  • Kecerdasan muzik - kepakaran dalam prestasi, komposisi & apresiasi terhadap pola-pola muzik                                  
  • Kecerdasan interpersonal - kebolehan memahami perasaan, motivasi, tabiat serta hasrat orang lain.  
  • Kecerdasan intrapersonal - kemampuan seseorang individu mengenali diri sendiri secara mendalam serta mempunyai tanggapan tentang kekuatan dan kelemahan diri sendiri.                            
  • Kecerdasan naturalis - kebolehan melihat hubungan dan polar antara tumbuhan & haiwan                                                  
  • Kecerdasan eksistential - fahaman yang berpusat kepada kejadian dan kewujudan manusia, erti kehidupan, kematian dan juga realiti yang dihadapi oleh manusia.



       Melalui aplikasi teori pelbagai kecerdasan, kita dapat mencungkil kecerdasan-kecerdasan yang diingini melalui pelbagai cara. Ia dapat membantu guru dalam menyesuaikan diri dengan perbezaan pelajar dan juga suasana pembelajaran. 







Tokoh-tokoh Behaviorisme




Ivan Pavlov (Teori Pelaziman Klasik Pavlov)
(http://en.wikipedia.org/wiki/Ivan_Pavlov)
     
       Pavlov berpendapat bahawa setiap rangsangan akan menimbulkan gerak balas di mana rangsangan tersebut adalah sebarang bentuk tenaga yang menimbulkan gerak balas. Pembelajaran yang berlaku melalui perkaitan tersebut dinamakan pelaziman dan pembelajaran iaitu generalisasi, diskriminasi dan penghapusan. Melalui konsep-konsep ini, menunjukkan bahawa pembelajaran mempunyai hubungan antara rangsangan dengan gerak balas.



J.B Watson (Teori Pelaziman Klasik Watson)
http://en.wikipedia.org/wiki/J._B._Watson

       Beliau digelar ‘bapa behaviorisme’. Beliau menerima hasil kerja Pavlon dan menerima pelaziman klasik sebagai satu cara yang penting dalam proses pembelajaran. Beliau mengaitkan segala tingkah laku dengan pergerakan. Watson berpendapat, guru boleh mempengaruhi pengalaman pembelajaran pelajar dengan menentukan rangsangan yang akan didedahkan kepada pelajar dan jenis gerak balas yang akan dihasilkan. Dengan menggabungkan beberapa rangsangan, gerak balas tertentu dapat dikaitkan dengan pelbagai situasi dan dalam proses pembelajaran, guru haruslah memilih rangsangan yang menyeronokkan.




Edward L. Thorndike (Teori Pelaziman Operan)
(http://en.wikipedia.org/wiki/Edward_Thorndike)

       Thorndike merupakan ahli behaviorisme yang pertama mengemukakan konsep pelaziman operan. Beliau memperkenalkan “pembelajaran cuba jaya” dan 3 hukum pembelajaran iaitu hukum kesediaan (persediaan dan persiapan yang perlu ada sebelum individu itu bertindak), hukum latihan (digunakan dalam latihan hafalan) dan hukum kesan (menyatakan jika sesuatu tindakan itu diikuti oleh sesuatu perubahan persekitaran yang menyeronokkan). Berdasarkan ketiga-tiga hukum tersebut, seseorang guru haruslah menggunakan strategi atau pendekatan yang berkesan dalam aktiviti pengajaran seperti menilai aspek kesediaan pelajar, mengadakan pelbagai rangsangan, memberi ganjaran atau peneguhan positif serta menentukan persekitaran pembelajaran yang kondusif.




B.F Skinner (Teori Pelaziman Operan Skinner)
(http://en.wikipedia.org/wiki/B._F._Skinner)

       Skinner cuba mengaitkan behaviorisme dengan gerak balas yang mana boleh dikuatkan (diulangi) atau dihapuskan (tidak diulangi) jika diberikan peneguhan sebaik-baik sahaja gerak balas itu ditunjukkan. Dalam teori ini, Skinner menekankan kepada peneguhan dan hukuman. Peneguhan ialah suatu gerak balas yang memuaskan setelah sesuatu tingkah laku dipamerkan. Peneguhan dibahagikan kepada 2 iaitu peneguhan positif (rangsangan yang boleh menambahkan kebarangkalian sesuatu tingkah laku akan berlaku) dan peneguhan negatif (rangsangan yang menyakiti atau mewujudkan keadaan tidak selesa boleh menambahkan kebarangkalian sesuatu tingkah laku mengelak atau mengurang).    


No comments:

Post a Comment